PUTRAJAYA, 2 Oktober 2025 – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, hari ini melancarkan MIMOS Technology Preview (MTP) 2025 di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, IOI City Mall, Putrajaya.
MTP pada tahun ini amat bermakna kerana ia bertepatan dengan Ulang Tahun Ke-40 MIMOS, menandakan empat dekad inovasi berterusan, keteguhan dan sumbangan dalam pembinaan negara. Dianjurkan setiap tahun, MTP menampilkan teknologi terkini hasil R&D gunaan MIMOS, menawarkan penyelesaian sedia industri serta menjadi platform kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil.

Lebih 25 Inovasi Baharu Sedia Pasaran
Pada MTP 2025, MIMOS memperkenalkan lebih daripada 25 teknologi baharu, membuktikan keupayaan Malaysia bergerak melangkaui idea kepada penyelesaian nyata yang menangani cabaran dunia sebenar. Inovasi tersebut meliputi:
- Semikonduktor & Elektronik Lanjutan: mempercepatkan peranan Malaysia dalam rantaian nilai global E&E.
- Kecerdasan Buatan, Blockchain, dan Teknologi Kuantum: memperkukuh daya tahan ekonomi digital.
- Keselamatan Siber: melindungi kedaulatan digital negara.
- Penyelesaian Hijau & Dekarbonisasi: menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
- Kesihatan & Pembuatan Pintar: meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kesejahteraan masyarakat.
Antara yang menjadi tumpuan ialah sistem penyejuk tenaga cekap Mi-ACE, Graphene Ink untuk aplikasi lestari E&E, sistem penjejakan dalam bangunan (ITS), serta penganalisis tanda vital bukan invasif REVA In-Situ, yang kebanyakannya kini dalam perjalanan ke arah pengkomersialan.

Memperkukuh Kerjasama Melalui Model Quadruple Helix
Selaras dengan tema ‘Power Up Your Business with Market-Ready Tech and Unrivalled Partnership’, MTP 2025 turut menyaksikan beberapa majlis pertukaran dokumen yang memeterai kerjasama dengan rakan strategik. Inisiatif ini mencerminkan model Quadruple Helix, yang menyatukan kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil untuk mempercepatkan inovasi, pelaburan dan pertumbuhan negara.
Pelantikan MIMOS Industry Advocacy Group (IAG) Fellows
Semasa MTP 2025, MIMOS juga akan mengadakan sesi pelantikan MIMOS Industry Advocacy Group (IAG) Fellows. Fellowship ini merupakan pengiktirafan kepada kepimpinan terulung dalam kalangan tokoh industri dan akademik Malaysia, di samping jemputan untuk membentuk hala tuju teknologi negara.
Sebagai Tier-1 Fellows, kepimpinan mereka akan membantu merangka keutamaan nasional, menginspirasi kolaborasi baharu, dan membimbing dasar yang memberi kesan kepada industri, komuniti dan kehidupan rakyat. Bersama MIMOS, para Fellows ini akan memastikan perjalanan inovasi dan teknologi Malaysia dipandu oleh kebijaksanaan, berteraskan keutamaan negara dan digerakkan oleh aspirasi global.
Memacu Agenda Digital & Inovasi Malaysia
MTP 2025 sejajar dengan agenda utama negara termasuk Dasar Semikonduktor Negara (NSS), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Ketiga Belas (RMK-13).
Berucap di majlis pelancaran, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof berkata, “MTP 2025 bukan sekadar pameran teknologi tetapi pemangkin kepada kerjasama. Dengan menghimpunkan inovator, usahawan, penyelidik dan pembuat dasar, kita dapat memacu perkongsian berimpak tinggi yang akan membawa lonjakan baharu dalam sains, teknologi dan inovasi negara.”
Pengerusi MIMOS, Dr Jasmine Begum, pula menegaskan, “Sambil kita meraikan 40 tahun MIMOS, kita memperbaharui komitmen untuk memperkasakan industri, membentuk pasaran baharu dan mencipta masa depan bersama. Inovasi Malaysia adalah nyata, boleh diskala dan berdaya saing di peringkat global.”
Sebagai pusat R&D gunaan negara, MIMOS kekal teguh dengan komitmennya untuk memacu industri teknologi negara. Dengan menerajui inovasi dalam teknologi terkini dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia, MIMOS akan terus menterjemah hasil penyelidikan kepada penyelesaian yang memberi impak, memperkukuh daya saing negara, memperkasa bakat tempatan, serta memposisikan Malaysia sebagai peneraju inovasi bertaraf global.
– TAMAT –
Mengenai MIMOS Berhad
MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pusat inovasi Malaysia dalam bidang semikonduktor, mikroelektronik dan teknologi ICT. MIMOS menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi negara melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan, memperkukuh keupayaan teknologi mendalam (deep tech) negara.
Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan lebih 1,400 paten dalam pelbagai domain teknologi dan bidang sosioekonomi utama, sekali gus memperkukuh perjalanan transformasi digital Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini memfokus kepada Penyelidikan Semikonduktor & Filem Nipis, Elektronik Termaju & Sistem Terbenam, serta Teknologi Pembuatan dan Negara Pintar. MIMOS akan terus memperkukuh kerjasama strategik, meneroka peluang baharu di peringkat global serta memupuk budaya teknousahawan, inovasi dan prestasi tinggi berasaskan nilai kepercayaan dan kreativiti.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mimos.my.
Untuk pertanyaan Media, sila hubungi Komunikasi Korporat kami:
Patricia Liew
Pengurus
Komunikasi Korporat
Emel: patricia.liew@mimos.my
Nurazuin Wahab
Penolong Pengurus
Komunikasi Korporat
Emel: nurazuin.wahab@mimos.my
 Nuramalina Husna Nurdin
Eksekutif Kanan
Komunikasi Korporat
Emel: nuramalina.nurdin@mimos.my
 
				

