Skip to main content
Press Release

PELANCARAN MALAYSIA BLOCKCHAIN INFRASTRUCTURE, DETIK BERSEJARAH DALAM AGENDA ASET DIGITAL NEGARA

KUALA LUMPUR, 21 JULAI 2025 YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, hari ini merasmikan pelancaran Malaysia Blockchain Infrastructure sempena pembukaan Minggu Blockchain Malaysia 2025.

Dibangunkan oleh MIMOS Berhad, agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama rakan strategiknya, Malaysia Blockchain Infrastructure merupakan sebuah platform yang ditubuhkan untuk memperkasa perkhidmatan blockchain yang inovatif merentasi pelbagai sektor, seterusnya menyokong strategi aset digital Kerajaan selari dengan Pelan Hala Tuju Blockchain Kebangsaan 2021 – 2025.

“MOSTI komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Digital dalam memperluas penggunaan teknologi blockchain merentas sektor-sektor utama negara. Daripada meningkatkan ketelusan dan keselamatan data dalam sistem pentadbiran kerajaan, memperkukuh pensijilan halal, hinggalah mempertingkat kecekapan dalam perdagangan dan rantaian bekalan — matlamat kita adalah untuk memastikan teknologi blockchain dimanfaatkan secara praktikal dan berimpak dalam menyokong pembangunan negara serta memberi manfaat nyata kepada rakyat,” kata YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Malaysia Blockchain Infrastructure diwujudkan untuk menyatukan ekosistem blockchain yang berasingan dengan membolehkan kesepaduan antara platform awam serta rantaian persendirian melalui satu sistem seragam. Platform ini mempermudah penggunaan teknologi blockchain oleh pengguna bukan teknikal dan memacu keterangkuman melalui kelayakan boleh disahkan (seperti MyDigital ID), token tidak boleh ditukar (non-fungible tokens, NFT), aplikasi decentralised finance (DeFi) dan banyak lagi. Peneraju awal akan mula melaksanakan penyelesaian berasaskan blockchain dalam identiti digital, pengewangan aset dan pengesahan rantaian bekalan.

Malaysia Blockchain Infrastructure juga menyokong transaksi rentas rantai yang selamat, telus dan cekap. Dengan capaian bersama dan sistem yang dipermudah, platform ini menggalakkan inovasi digital yang pantas dan kos efektif. Ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat teknologi dikongsi secara saksama, demi kemajuan digital yang lestari.

Sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan negara, MIMOS memainkan peranan penting dalam memacu penerimagunaan teknologi blockchain. Malaysia Blockchain Infrastructure bertujuan menangani cabaran ekosistem yang berasingan dengan menyatukan pelbagai platform.

Semua pihak berkepentingan, termasuk industri, penyelidik, dan pembuat dasar, perlu untuk terus mengekalkan semangat kolaborasi yang kukuh dalam merealisasikan inisiatif ini. Kerjasama erat antara sektor awam dan swasta adalah kunci utama bagi Malaysia dalam membangunkan ekosistem blockchain yang inklusif, mampan, dan berdaya tahan di peringkat serantau.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

21 JULAI 2025


Mengenai MIMOS Berhad

MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan 2,000 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa.

Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (Advanced Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mimos.my.

Untuk pertanyaan Media, sila hubungi Komunikasi Korporat kami:

Patricia Liew
Pengurus
Komunikasi Korporat
Emel: patricia.liew@mimos.my

Nurazuin Wahab
Penolong Pengurus
Komunikasi Korporat
Emel: nurazuin.wahab@mimos.my

Nuramalina Husna Nurdin
Eksekutif Kanan
Komunikasi Korporat
Emel: nuramalina.nurdin@mimos.my